
KEGELAPAN, lumpur dan khemah-khemah yang runtuh adalah begitu nyata sehingga satu-satunya cara untuk mengekalkan kewarasannya adalah bermula mencatatkan setiap pemerhatian dan pertemuan.
Teh Lynn Xuan, 24, mula mendokumentasikan tragedi itu dengan telefon bimbitnya sejurus selepas dia mendapati keseimbangan mental dan fizikalnya dalam persekitaran lumpur yang gelap gelita. Menyimpan catatan bertulis mengenai peristiwa itu merupakan satu-satunya cara untuk membantu memahami tragedi tanah runtuh Batang Kali yang meragut nyawa sepupunya yang berusia tujuh tahun dua tahun lalu.
Pegangan kuat dalam kepercayaan Kristiannya, Lynn Xuan menguatkan dirinya dengan pengetahuan bahawa Zech telah pergi ke syurga. “Saya sedar bahawa saya perlu keluar dari pemikiran itu walaupun saya sangat sedih atas permergian sepupu saya Zech Loh. Saya percaya dugaan ini adalah selamanya.”
“Daripada hidup dengan kekesalan atas ketiadaan Zech bersama kami, kami tahu bahawa dia tidak akan menderita lagi dalam dunia ini bukanlah satu perkara yang buruk juga. Apabila saya fikir dengan cara ini, saya berasa lebih lega dan tenang hati.
“Terdapat pelbagai bab yang berbeza dalam kehidupan dan saya percaya inilah bab seterusnya dan dia telah menuju ke hadapan. Saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya. Ia adalah umpama saya tidak dapat menghalang rakan saya dari sambung pelajaran di luar negara,” analogi ringkas yang digunakan oleh Lynn Xuan untuk membantunya mengambil setiap langkah berat ke hadapan.
“Saya jauh lebih tua daripada Zech. Saya rasa semua ini adalah rancangan Tuhan. Pada tahun 2020, saya merakamkan sebuah video tentang Zech ketika kami pergi ke KL (dari Melaka) untuk memberi kejutan majlis parti hari jadinya.
“Dalam majlis itu, dia membuat doa dan meminta dua perkara kepada Tuhan. Bahawa dia dapat pergi berkhemah dengan kami semua dan dia menyebutkan semua nama kami dan bahawa dia hendak menjadi seorang petani.
“Setiap orang yang dia sebutkan dalam doa itu sertai perkhemahan bersamanya dan tapak perkhemahan itu berada di sebuah ladang! Dia juga berharap untuk menginap dalam perkhemahan kereta dan dia telah melakukannya.
“Selepas memproses pemikiran ini, saya dapat rasa adanya “keindahan” di sebalik pemergiannya kerana dia meninggal dalam melakukan aktiviti yang dia suka bersama orang yang dia sayangi di sekelilingnya. Jenazahnya merupakan mayat pertama yang dijumpai tanpa luka fizikal yang banyak padanya.
“Tuhan memakbulkan doanya dan saya berasa sangat terharu dengannya. Ini telah membantu saya memproses kejadian itu dengan lebih baik,” kata Lynn.
Mengimbaskan kembali malam yang malang itu. “Saya masih ingat saya melihat telefon dan ia adalah pukul 2 pagi. Saya berfikir: wow, hujan. Saya tidak berfikir lebih dan sambungkan tidur. Ibu bapa dan dua adik perempuan saya berada di dalam khemah yang ayah saya pinjam daripada kawannya.
“Saya masih ingat dia nasihatkan kami supaya berhati-hati semasa menggunanya (khemah) kerana ia adalah khemah yang mahal. Sekejap selepas saya sambung tidur, saya rasa hujan semakin lebat. Pada ketika itu, saya merasa Tuhan telah mengejutkan saya. Saya terdengar bunyi hujan semakin kuat tetapi ia (tanah runtuh) semakin dekat. Kedengaran seperti jatuhan air hujan lebat melanda tapak perkhemahan.
“Ibu saya juga sudah terjaga. Kami dapat merasakan getaran atas tanah dan ia seperti ada pergerakan tanah. Ibu menyuruh kami untuk meninggalkan khemah sekiranya berlaku ribut petir. Semasa kami hendak keluar, khemah itu runtuh dan tertutup. Ia adalah jenis khemah automatik di mana jika sebahagian daripadanya patah, khemah itu akan dilipat. Saya bagitahu adik supaya jangan risau kerana saya akan buka zip belakang khemah untuk membiarkan mereka keluar. Saya suruh adik saya pergi ke pondok yang berhampiran tetapi apabila dia keluar, dia memberitahu saya pondok itu sudah tiada.”
“Saya tidak dapat memahami apa yang dimaksudkannya sehingga saya melihat dengan mata sendiri. Keadaan itu adalah gelap gelita dan sekeliling kami dipenuhi dengan lumpur. Pondok itu telah musnah sepenuhnya. Kami terperangkap dan tidak dapat melarikan diri ke mana-mana. Kami tidak tahu tempat yang kami berada adalah selamat atau akan berlakunya gelombang kedua. Saya tidak menyedari betapa seriusnya kejadian itu. Saya masih cuba mendapatkan rangkaian telefon untuk menghubungi rakan-rakan saya untuk memberitahu mereka bahawa saya mungkin tidak dapat hadir ke gereja pada keesokan harinya.”
Beberapa ketika kemudian, realiti mula dirasai dan keluarga mula mengumpulkan barang-barang mereka untuk menuju ke khemah bapa saudaranya (bapa Zech) yang masih elok. Terdapat 5 keluarga semuanya bersama dalam kumpulan mereka.
Dengan dua adik perempuan berusia 17 dan 11 tahun, Lynn Xuan terpaksa mengetepikan emosinya sendiri supaya dia dapat membantu menenangkan ibu dan adik-beradiknya.
“Adik saya ingin membantu untuk menyelamatkan mangsa. Saya terpaksa menasihatkan dia supaya jimatkan tenaga kerana kami tidak tahu bila pasukan penyelamat akan tiba. Tambah lagi, lumpur itu sangat tebal dan padat, kami tidak dapat menggali dengan tangan walaupun kami ingin.”
“Bapa saudara saya (bapa Zech) dalam keadaan bingung dan tidak berdaya. Dia menatap ke arah keretanya yang tidak dapat dia kenalpasti lokasi ataupun dekati. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kecuali berdoa meminta pertolongan Tuhan. Ia sangat menyayat hati.”
SELEPAS DISELAMAT KELUAR DARI TAPAK KHEMAH
“Selepas saya mengambil gambar, saya nampak pak cik saya berada di sebelah seorang mayat. Saya nampak ibu dan adik saya sudah menangis. Kami semua pergi ke mayat itu dan pak cik saya mengesahkan ia adalah Zech.”
“Saya begitu tidak percaya sehingga saya berfikir bahawa Zech mungkin tengah bergurau dengan kami kerana dia memang seorang budak nakal. Ia seperti dalam wayang.”
Pada malam sebelum tanah runtuh, Lynn Xuan teringat bagaimana Zech telah menghiburkan semua orang dengan berlari tanpa pakaian seperti budak nakal.
“Zech minta saya buatkan belon berbentuk hati yang berwarna merah jambu dan hijau untuknya. Saya suruh dia memeluk saya terdahulu dan bercakap ‘I love you’ sebelum saya memberikannya belon. Dia memeluk saya, bercakap ‘I love you’ dan melarikan diri dengan belon itu. Itulah interaksi terakhir saya dengan Zech.”
“Selepas kejadian, semasa kami memeriksa kereta kami yang telah dimusnah, saya terjumpa dua belon itu. Dan saya berasa saya telah memberikan segala kepadanya. Saya pernah tinggal bersamanya semasa PKP Covid dan saya memanjakannya dengan memberinya hampir apa sahaja yang dia mahukan. Dia benar-benar seperti adik saya. Saya sangat bersyukur dan berasa diberkati kerana saya menyayanginya dengan sepenuh.”
Ia adalah situasi paling sukar yang boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja dan untuk memahami keseluruhan tragedi tersebut. Satu situasi yang memerlukan seseorang untuk mengumpul segala naluri untuk terus hidup bagi meredakan serangan emosi. Catatan terperinci Lynn Xuan tentang tragedi itu dalam jurnalnya menggambarkan dengan jelas keadaan fikirannya ketika itu dan bagaimana dia berjaya bangkit dari keadaan yang penuh lumpur.
2.10 am : Tanah runtuh
3 am : Mencari bantuan
5 am: Bomba telah jumpa makcik dan Zech dalam kereta tetapi tidak pasti jika mereka selamat
6.29 am: Bomba menjumpai isteri pengendali kem
6.32 am: Waktu fajar
6.33am: Menjumpai seseorang tetapi dia telah meninggal (ibu bayi)
6.42 am: Menjumpai mayat bayi (kami bersedia untuk berangkat)
6.53am: Anak saudara guru wanita ditemui (meninggal dunia)
7.43 am: Semua orang berada di lokasi pasukan penyelamatan, Zech dan makcik di hospital, tidak pasti keadaannya
7.49 am: Diketahui bahawa Zech disahkan meninggal dunia, tak tahu nak rasa macam mana, hanya boleh meminta semua orang bertenang
9.08 am: Dalam trak polis menuju ke balai polis
9.22 am: Tiba di balai polis Hulu Yam Bahru
Tak percaya sudah dua minggu sejak tragedi itu berlaku.
Ia berlaku pada pukul 2:10 pagi. Saya terjaga kira-kira 10 saat sebelum kejadian itu. Saya terdengar bunyi gemuruh yang kuat dan saya ingat hujan turun dengan lebat di luar. Rasanya agak pelik kerana titisan hujan terasa kuat. Ketika saya sedang cuba memahami apa yang sedang berlaku, khemah kami tiba-tiba dihentam oleh sesuatu yang besar. Semua itu berlaku dalam masa 5 saat.
Khemah mewah kami menjadi satu poket udara kecil. Saya berjaya membuka zip pintu belakang khemah untuk melarikan diri. Saya adalah orang pertama yang merangkak keluar dari khemah kami sambil memberitahu adik perempuan saya bahawa jangan risau, kita boleh pergi ke pondok kerana “hujan” agak merosakkan khemah kita.
Cuba teka apa yang dia bagitahu saya? “shelter méi yôu lè (pondok sudah tak ada)” Saya tidak faham apa yang dia katakan sehingga saya melihat keadaan ngeri ini. Fikiran saya kosong sepenuhnya. Seorang budak lelaki dari zon A, YaoYu berdiri di luar khemah kami dan bercakap dengan panik “Saya sangat takut, ia terkena saya.”

Seorang wanita menjerit: “Bayi saya! Bayi saya!” manakala separuh badannya terperangkap dalam lumpur. Dia menunjuk ke sebelah kiri, Pakcik Quek dan Pakcik Sam dengan cepat menggali untuk mengeluarkannya dan meletakkannya di atas tanah, kemudian mereka terus menggali untuk mengeluarkan wanita itu. Sementara itu, bapa saudara saya yang kelihatan tidak berdaya dan sesat, memandang ke arah keretanya kerana Zech dan ibu saudara saya menginap di dalam khemah kereta. kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana seluruh kawasan itu terlalu gelap. Saya mengambil gambar ini selepas dan masih tidak tahu apa yang sedang berlaku.
2.33 pagi. Pengendali tapak perkhemahan itu, Alen memanjat naik dari tebing dengan kepalanya yang berdarah dan lengan kirinya yang terkehel, mula mengira berapa ramai di antara kami yang terselamat dan cuba memahami situasi. Alangkah leganya kedengaran bunyi hon kereta, walaupun tidak pasti keadaan di sana tetapi ia memberikan harapan.
2.34 pagi. Wanita yang tadi cuba menggali untuk mengeluarkan anak saudaranya. Kami ingin membantu dan cuba, tetapi lumpur itu sangat berat dan lembap. Saya rasa sangat sedih mengetahui bahawa dia akan mati dan mustahil untuk menyelamatkannya kerana lumpur di situ adalah kira-kira dua kaki tinggi.
3.04 pagi. Masih tidak kenal pasti jika tanah runtuh akan berlaku lagi. Kami mengumpulkan semua yang kami perlukan dan mencari tempat yang paling selamat iaitu di penghujung zon B. Cuaca sangat sejuk. Pada masa itu, menyimpan tenaga dan kekuatan kami adalah perkara yang paling penting untuk dilakukan. Pada masa yang sama, ayah saya berdiri di satu-satunya tempat itu dengan rangkaian yang lemah, cuba mendapatkan bantuan dari luar.

Sekitar jam 4.30 pagi, pasukan bomba dan sukarelawan tiba. Sekitar jam 5 pagi, mereka berjaya mengeluarkan Zech dan ibu saudara saya dari kereta. Pakcik saya bertanya keadaan ibu dan anak, mereka tidak banyak bercakap, hanya menjawab “okay okay”, mereka meletakkan Zech dan ibu saudara saya di atas pengusung dan menghantar mereka ke hospital. Semasa saya menunggu ketibaan bomba, saya mempersiapkan diri untuk menghadapi keadaan yang paling teruk. Bapa saudara saya menepuk bahu saya, kami tidak tahu apa yang perlu harus kami katakan maka kami berdoa kepada Tuhan supaya dapat perlindungan dan keajaiban.
6.32 pagi. Fajar telah tiba. Pasukan bomba berjaya menyelamatkan isteri Alen tetapi dia kelihatan tidak bernyawa. 6.33 pagi, satu lagi mayat dewasa dijumpai. 6.42 pagi, mayat seorang kanak-kanak dijumpai. 6.53 pagi, anak saudara wanita itu ditemui sudah meninggal. Masih terdapat lebih 20 orang yang tidak ditemui dari zon A. Sekitar jam 7 pagi, bomba dan sukarelawan membimbing kami keluar dari tempat kejadian. Ia adalah laluan berlumpur yang mengambil masa selama 40 minit. 7.22 pagi, mereka membawa kami ke stesen penyelamat. Kanak-kanak tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku.
Pada pukul 7.31 pagi, pasukan perubatan cuba mendapatkan nama dan mengetahui keadaan fizikal kami. Masih tiada rangkaian telefon di zon itu tetapi saya berasa sangat bersyukur dapat melihat langit yang indah. 7.41 pagi, sebelum menerima berita terburuk tahun ini, saya sedang mendokumentasikan apa sahaja yang saya boleh. Untuk makluman, anda boleh melihat beberapa mayat yang ditutup di sebelah kiri atas.


7.49 pagi, Ibu memberitahu saya bahawan Zech mungkin ada di situ kerana bapa saudara saya sedang duduk di sebelah mayat kecil yang ditutup dengan kain biru. Saya memberitahu diri saya bahawa ini adalah tidak benar, mereka mungkin tidak memeriksa siapa yang berada di dalam. Adik perempuan dan ibu sudah menangis. Saya berjalan ke hadapan menuju bapa saudara saya dan melihat dia memegang jam tangan Zech, dan hati saya hancur. Ia Zech. Dia adalah mayat pertama yang mereka temui. Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan dan bagaimana perasaan saya tetapi saya ingat saya berdoa kepada Tuhan, saya tahu Dia telah mengambil Zech tetapi saya tidak faham kenapa sekarang…….. tolong beritahu kami sebabnya.

8.58 pagi, mereka menghantar kami ke Balai Polis Hulu Yam Bharu dengan trak ini. Pakcik saya duduk di sebelah saya. Dia tidak berdaya dan tidak berupaya ditambahkan satu-satunya maklumat yang kami tahu tentang makcik saya ialah dia berada di zon merah yang mungkin keadaan teruk. Saya sangat menghormatnya atas kekuatan dan keberaniannya sehingga hari ini. Dalam situasi sukar itu sejak pukul 2 pagi, dia tenang setiap saat. 9.24 pagi, kami tiba di balai polis. Saya dikelilingi oleh ramai wartawan dan ini adalah bahagian di mana anda boleh mencari nama saya di Google atau TikTok. Perkara berlaku terlalu cepat dan saya tidak sempat memproses apa yang sebenarnya berlaku pada masa itu. Ia masih terasa tidak nyata sehingga hari ini.
